Blog ini ditubuhkan oleh seorang remaja yang ingin mencari identiti zaman keremajaannya.Pelbagai info menarik yang anda boleh cari di dalam blog ini..

Thursday, April 28, 2011

[ Cerita Seram ] Diganggu Lembaga Hitam ..bhgn 3

update !!!
jangan bace part ini jika anda belm bace part sebelumnya.. 
[ Cerita Seram ] Diganggu Lembaga Hitam 
[ Cerita Seram ] Diganggu Lembaga Hitam ..bhgn 2

Bah Lanjut memberitahu datuk, lembaga hitam itu sudah dua tiga kali masuk ke dalam perkampungannya, malah satu ketika anak buahnya hampir berjaya memberkas lembaga hitam itu dengan mengepungnya, tetapi lembaga itu berjaya menghilangkan diri dengan berpaut pada dahan meranti condong. Menurut Bah Lanjut, setiap kali lembaga hitam datang, mesti diiringi dengan bunyi burung hantu atau salakan anjing hutan.

Begini saja, esok kita cari kesan tapak kakinya," datuk memberi satu keputusan yang muktamad. Dan Bah Lanjut bersetuju dengan cadangan datuk itu.

"Sampai ke mana?" soal Bah Lanjut.

"Sehingga mana yang boleh kita cari," batas datuk . Bah Lanjut anggukkan kepala. Mereka terus bercakap. Gegendang telinga saya sudah tidak mampu mahu mendengar perbualan datuk dengan Bah Lanjut. Saya terlelap. Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat Bah Lanjut sudah tiada dalam pondok.

Datuk saya Iihat masih termenung panjang. Malas saya mahu menyuruh datuk tidur. Saya kira dia sedang memikirkan sesuatu. Saya tidur kembali. Pagi itu, sembahyang subuh, datuk terus mengajak saya mandi air embun. Pagi di perkampungan orang asli cukup mengesankan. Saya melihat matahari terbit di puncak banjaran gunung titiwangsa, kabus nipis berarak menuju ke dada langit, kicau burung hutan dan ayam hutan bersahut-sahutan.

Lepas mandi air embun, saya bakar ubi kayu dan datuk masak air panas. Bila matahari sudah meninggi, sayup-sayup terdengar bunyi suara jentera dan pekerja hidro-elektrik dan di turuti dengan bunyi ledakkan yang cukup kuat.

"Apa benda tu tok?" tanya saya.

"Dia orang tebuk bukit buat terowong air," begitulah datuk memberi penjelasan. Saya melihat ke arah bunyi ledakkan itu, saya lihat ada asap berkepul naik ke udara.

Selesai makan ubi bakar dan minum kopi, Bah Lanjut datang menemui datuk. Dia mengajak datuk mencari kesan tapak kaki lembaga hitam yang datang ke pondok malam tadi.

"Boleh, nanti saya tukar pakaian," jawab datuk.

Saya dan datuk pun ke atas pondok. Bah Lanjut menanti di tanah. Dia memakai seluar pendek kuning, berbaju hitam dengan parang kontot tersangkut di pinggang. Sumpit panjangnya tersandang di belakang.

Saya dan datuk turun ke tanah. Sesudah berkeliling di kawasan sekitar pondok. Saya terjumpa kesan tapak kaki binatang, macam bentuk tapak kaki gajah, mempunyai empat jari. Saya segera memberitahu datuk dan Bah Lanjut.

"Memang inilah tapak kakinya," kata Bah Lanjut sambil menguis dedaun di kelilingi tapak kaki itu. Bah Lanjut berhenti menguis. Dia mengambil sesuatu dari muka tanah.

"Inilah bulunya," pekik Bah Lanjut sambil menunjukkan pada datuk.

Saya dan datuk pun rapat pada Bah Lanjut. Bulu hitam keras itu pindah dari tapak tangan Bah Lanjut ke tapak tangan datuk. Datuk renung bulu hitam keras itu. Bila bulu itu terkena sinar matahari, warnanya menjadi perang. Datuk menyerahkan bulu itu pada Bah Lanjut. Dan Bah Lanjut memasukkan ke dalam buluh yang tersangkut di pinggang sebelah kirinya. Berpandukan kepada kesan tapak kaki itu, kami bergerak menuju ke arah barat daya. Datuk dan Bah Lanjut menemui beberapa ranting kayu patah kena pijak. Dua tiga pokok hutan kelihatan terkulai, bagaikan dirempuh sesuatu. Kesan itu hilang disebuah lurah menghala ke sebuah anak bukit yang di pisahkan oleh sebatang anak sungai dengan perkampungan orang asli.

Matahari sudah berada betul-betul di tengah kepala. Kerana kesan tapak kaki lembaga itu tidak dapat di kesan lagi, datuk dan Bah Lanjut membuat keputusan pulang saja ke pondok. Datuk memberi janji akan menolong Bah Lanjut mengatasi masalah tersebut, demi keselamatan anak buahnya. Dan Bah Lanjut juga memberi ikrar akan membantu datuk sedaya upaya untuk menangkap atau mengusir lembaga hitam itu.

Sebaik saja kami sampai di pondok, lima orang pemuda Melayu dengan topi putih berbucu depan belakang, seakan-akan bentuk topi keledar menanti kami. Mereka bercakap sesama sendiri.

"Apa halnya ni," tanya Bah Lanjut. Kelima-lima pemuda itu diam. Mata mereka merenung tepat ke arah saya dan datuk . Salah seorang daripada pemuda itu berbadan tegap, berkulit hitam manis menghampiri saya.

"Awak orang asli atau orang Melayu?" tanyanya dengan berbisik pada saya. Saya tersenyum. Aneh juga rasanya, kerana mereka tidak dapat membezakan saya dan datuk dengan orang asli.
>>bersambung...ada 2 bahagian lagi ...hehehe


Comments
1 Comments

1 comments:

G3-lina said...

bile na sambung?

 
Copyright (c) 2011 Dunia Seorang Remaja. Design by Mas Ahmad Safwan

Official Blog and Facebook.