update !!!
jangan bace part ini jika anda belm bace part sebelumnya..
"Saya orang Melayu," jawab saya.
"Itu datuk saya," muka anak muda yang bertanya kelihatan berubah.
Dia hulurkan tangan, bersalam dengan saya dan datuk .
"Saya Zamri," katanya pada datuk .
"Awak orang mana?"
"Saya orang Jeram, dekat Kuala Dipang, Kampar, saya bekerja di sini." Mendengar cakap pemuda itu, datuk angguk kepala dan tersenyum. Datuk lalu mempersilakan mereka duduk di atas tunggul kayu di halaman pondok. Bah Lanjut berdiri di depan kumpulan pemuda tersebut.Saya terus duduk di sisi salah seorang anak muda yang berkulit hitam, berhidung mancung.
Tanpa diminta anak muda itu memberitahu saya namanya, Amiruddin, berasal dari Teluk Bahang, Pulau Pinang. Sudah dua tahun menjadi buruh hidro elektrik di situ.
"Apa halnya?" tanya Bah Lanjut lagi. Zamri bangun sambil meraba-raba batang hidungnya.
"Kawan kami kena patuk ular di kaki bukit, waktu menebas," katanya.
Bah Lanjut renung muka datuk dan menyatakan, pekerja-pekerja di situ memang selalu menemuinya jika ada menghadapi kesulitan seperti itu.
"Kenapa tak bawa jumpa doktor?" datuk menghadapkan pertanyaan itu pada Zamri. Bah Lanjut menggosok-gosok ulu parang kontotnya.
"Salah seorang kawan saya sudah pun jumpa ketua, memang mahu dibawa ke Hospital Tapah, tetapi kami terpaksa tunggu kereta.
"Dia mana kawan awak tu?" saya pula bertanya.
"Ada dekat setor, menanti kereta."
Bah Lanjut membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Kemudian Bah Lanjut mengajak kelima-lima pemuda itu pergi ke tempat kawan mereka yang kena patuk ular itu. Setelah meredah hutan dan menuruni dua buah anak bukit, akhirnya saya, dan datuk dan Bah Lanjut sampai ke belakang setor.
Di situ, saya lihat seorang pemuda terbaring atas pangkin. Seorang lelaki berbangsa Jerman berdiri di sisinya. Pangkal peha pemuda yang baru berusia lebih kurang dua puluh lima tahun itu diikat dengan kain kuat-kuat. Lelaki berbangsa Jerman itu meletakkan sesuatu di bahagian bawah peha yang sudah diikat itu.
Pemuda yang malang itu tidak bergerak. Dadanya kelihatan berombak. Kedua kelopak matanya rapat. Zamri menghampiri lelaki Jerman yang berbadan tegap. Mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Dua tiga kali orang Jerman itu geleng kepala. Zamri terus juga bercakap akhirnya orang Jerman menghampiri datuk.
"Migiteis," ujur lelaki itu. Datuk angguk kepal. Lelaki itu bercakap sesuatu pada datuk. Saya lihat kelopak mata datuk pejam celik. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan oleh orang Jerman itu. Bahasa yang diucapkan oleh orang Jerman itu terlalu asing buatnya.
"Ini ketua kami, dia setuju memberi peluang pada kami mengubat kawan yang malang itu, mengikut cara kampung, sementara menanti kereta yang akan membawanya ke rumah sakit Tapah," Zamri menjadi juru bahasa pada datuk dan Bah Lanjut.
Orang Jerman yang berbadan tegap itu renung muka datuk dan Bah Lanjut. Bila orang Jerman itu meninggalkan bahagian belakang setor menuju ke pejabat kecilnya bengkel membaiki lokomotif, Bah Lanjut memerintahkan Zamri dan kawan-kawannya mencari batang tepus dan pokok pisang karok (pisang hutan) serta daun langkah dengan secepat mungkin.
Tidak sampai dua puluh minit, barang-barang yang dikehendaki oleh Bah Lanjut itu diperolehi, pemuda malang di atas pangkin di bawa kesatu tempat lapang berdekatan dengan pokok jelutung mati dahan. Bah Lanjut meletakkan barang-barang yang di kehendaki di sekeliling pangkin.
"Pukul berapa?" tanya saya pada Zamri.
"Dekat pukul dua petang," jawabnya, tiba-tiba datuk menepuk bahu saya menyuruh saya diam. Bah Lanjut mengambil batang tepus lalu dipukul ke pangkal pokok pinang hutan, dipalu ke tanah tujuh kali. Manakala pucuk daun langkap dikoyak-koyak, separuh dibuang ke dalam hutan, separuh lagi dikunyahnya.
Pucuk langkap yang sudah hancur itu diluahkan di pangkal pangkin. Bah Lanjut menyuruh saya dan datuk serta kawan-kawan Zamri, duduk di satu tempat agak jauh juga jaraknya dengan pangkin sambil berpesan jangan bercakap atau bangun. Dan gerak gerinya jangan di tegur. Kami beredar.
Muka Zamri dan kawan-kawan agak cemas, mereka agak bimbang kalau-kalau yang kena patuk ular itu tidak pulih dalam waktu yang ditepatkan, kereta dari Batu Tiga Puluh Dua akan datang dan ketua mereka akan memerintahkan supaya kawan yang malang itu dibawa segera ke Hospital Tapah. Bah Lanjut duduk mencangkung di depan pangkin.
Dia bercakap dalam bahasa orang asli, macam kicau burung hantu bunyinya. Lepas itu dia mengambil sehelai daun berhampiran tempat tersebut lalu meniupnya. Bunyi tiupan dari daun itu cukup nyaring dan sakit gegendang telinga saya dibuatnya. Bah Lanjut terus meniupnya tanpa berhenti-henti. Peluh di dahi dan di belakang mula keluar. Tiba-tiba saya melihat beberapa ekor ular keluar dari hutan kecil di belakang kami, semuanya meluru ke arah pangkin pemuda malang itu. Anehnya, ular itu berpatah balik kedalam hutan.
Bah Lanjut terus meniup daun tanpa berhenti-henti. Tanah lapang dekat pangkin pemuda malang itu, sudah pun di penuhi dengan berbagai bentuk ular, beberapa ekor ular menjalar dan memanjat belakang Bah Lanjut yang meniup daun. Saya berasa takut, belum pernah saya melihat ular sebanyak itu dengan beranika rupa dan bentuk. Saya kira semua ular di dalam hutan sekitar itu berkumpul di situ.
>>>bersambung lagi ...k..tunggu kemuncak die kul 12 nanti ye....hehehe