TRIPOLI: Dalam tindakan yang sangat jarang diambil, pegawai Libya membawa wartawan asing melawat kubu Muammar Gaddafi semalam untuk menunjukkan bangunan yang musnah diserang tentera Bersekutu.
Tidak jauh dari khemah suram tempat Gaddafi menerima tetamunya, sebuah bangunan tiga tingkat musnah, selain sebuah lubang jelas kelihatan.
Wartawan di Tripoli mendengar satu letupan awal pagi semalam dan melihat asap berkepul dari kubu berkenaan.
Kawasan itu turut menempatkan kediaman peribadi, berek tentera dan kemudahan lain.
Bagaimanapun, tiada asap kelihatan apabila lawatan berkenaan diadakan.
Pegawai Gaddafi berkata, bangunan itu terkena peluru berpandu dan mendakwa Barat cuba membunuh pemimpin Libya itu.
Jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata serangan itu tidak bertamadun.
“Ia bercanggah dengan kenyataan AS dan Barat yang menafikan mereka mensasarkan kawasan ini,” katanya.
Mengesahkan tiada kecederaan berlaku dalam serangan itu, Mussa enggan menyatakan sama ada Gaddafi berada di situ ketika kejadian.
Sebelum ini, AS berkata, mereka tidak berniat mensasarkan Gaddafi ketika tentera negara itu dan sekutunya meningkatkan serangan ke atas Libya.
Tidak jauh dari situ, penyokong Gaddafi dibenarkan masuk ke kompleks berkenaan untuk menjadi benteng manusia jika serangan udara berlaku lagi.
Mereka melaungkan slogan anti-Barat, termasuk menggesa Presiden Barack Obama dibunuh.
Di belakang kawasan itu, seorang tentera mengawasi ruang udara bersama kelengkapan senjata antikapal terbang yang diletakkan di atas sebuah lori pikap.
Lewat malam kelmarin, penyokong Gaddafi melepaskan tembakan ke udara ketika sebahagian yang lain menari sambil mengibarkan bendera Libya.
Penyokong Gaddafi itu berkata, mereka rela mati untuk pemimpin terbabit.
Seorang jurutera, Muatas, 45, berkata dia sangat sayangkan Gaddafi. “Dia adalah bapa kami dan kami rela mati kerananya,” katanya. - Reuters....MYMETRO