Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..
PORT DICKSON: “Saya sebak melihat keadaan mayat mangsa yang kepala terbelah dan putus terhimpit dalam kereta yang remuk teruk,” kata seorang kontraktor yang juga saksi terawal kemalangan maut mengorbankan lima sekeluarga di Kilometer 19.6 Jalan Pantai, Pasir Panjang, dekat sini, semalam.
Gambar sekadar hiasan
Hardi Jamu, 37, berkata dia melihat lima mangsa yang berada dalam kereta berkenaan tidak bergerak dan percaya mereka sudah meninggal dunia akibat parah.
“Saya berkejar mendapatkan beberapa lagi mangsa dalam kenderaan lain untuk memberi bantuan selain cuba menahan kenderaan yang lalu lalang bagi mengelak mereka terbabit kemalangan ngeri itu.
“Keadaan kelam-kabut dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar serta pengguna jalan raya lain datang memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lima sekeluarga yang menaiki Proton Wira dari Port Dickson maut selepas kenderaan dinaiki berlanggar sebuah trak tentera.
Mereka yang maut ialah Mohd Said Lakan, 58, isterinya, Rosnani Buyong, 50, anak mereka, Nordiana, 30, menantunya, Saipol Naaim Mat Dan, 36, (pemandu kereta) dan cucunya, Muhammad Harith Firdaus Saipol Naaim berusia empat tahun.
Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah kereta yang datang dari Port Dickson menghala Linggi memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh belakang trak tentera yang menuju Port Dickson menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh Proton Wira dinaiki lima sekeluarga berkenaan.
Dua lagi kenderaan terbabit iaitu sebuah Perodua Myvi dan Kia Spectra. Empat mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak dan mereka dikejarkan ke Port Dickson untuk rawatan lanjut.
Menceritakan kejadian itu, Hardi berkata, ketika kejadian, dia berada di simpang di depan lokasi nahas itu untuk keluar membeli barangan.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat sebuah kereta melanggar sisi belakang trak tentera menyebabkannya hilang kawalan.
“Trak tentera itu kemudian terlanggar Proton Wira dan terbalik sambil menyeret Proton Wira itu ke tepi jalan.
“Sejurus kemudian saya terdengar beberapa lagi dentuman dipercayai akibat kemalangan susulan di belakang trak tentera berkenaan,” katanya.
Menurutnya, selepas melihat keadaan pemandu dan penumpang Proton Wira berkenaan, dia segera pergi ke beberapa lagi kenderaan yang turut terbabit dalam kemalangan untuk memberikan bantuan.
“Saya dan beberapa pengguna lain serta orang ramai yang berada di tempat kejadian memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
“Pasukan bomba dan polis yang dihubungi datang ke lokasi tidak lama selepas kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.
Hardi berkata, pemandu dan beberapa anggota tentera dalam trak tentera itu, bagaimanapun tidak cedera serius.
Sumber : HMetro